Thursday, November 29, 2012

Durian Crepe ala ala famous gitew


Sekarang ni musim durian, sana dulian sini dulian hmm menambah-nambah lagi lah berat badan ku. Aritu beriya2 sangat nak kurus tapi bila tengok durian crepe tu menggoda-goda sungguhhh...sedeyy sedeyyy...




BAHAN - BAHAN


Kulit Pancake:

250 gm tepung gandum
3 biji telur
500ml santan
½ sdt garam
Pewarna kuning

Bahan Inti:

Whipping cream + gula (manis ikut citarasa memasing)
Isi durian 


CARA-CARA

Untuk kulit:
Blend semua bahan dan dadar nipis-nipis atas kuali.

Untuk inti:
Pukul whipping cream dan gula sehingga menjadi cream / kental. 
Isi durian dilumat kasar

Ambil sekeping kulit pankek, letakkan whipping cream kemudian letakkan isi durian, tutupkan dengan whipping cream. Lipat dan simpan dalam peti sejuk selama 1-2 jam.
Lepas tu boleh lah di ngappp....sedapppp





Wednesday, November 28, 2012

Makanan Wajib..

Makan merupakan perkara penting dalam menjalani kehidupan seharian. Namun, persoalan yang sering timbul adalah sama ada makanan yang dimakan setiap hari itu benar-benar berkhasiat? Jika anda mengamalkan diet yang tidak seimbang, maka kesihatan anda sudah tentu akan terjejas.


Oleh itu, pengamalan diet yang seimbang adalah sangat penting bagi tubuh mengekalkan kesihatan tubuh badan anda. Di sini, kami ingin kongsikan tips makanan berkhasiat yang boleh memberikan manfaat kepada tubuh badan anda. 

Yogurt
Yogurt mengandungi banyak bakteria baik yang berfungsi untuk mengusir bakteria tidak baik di permukaan usus, sekaligus meningkatkan daya ketahanan badan di samping berupaya melindungi badan daripada serangan kanser. Tetapi tidak semua yogurt mengandungi bakteria baik. Oleh itu, jika anda ingin membeli yogurt, pastikan ianya mempunyai label yang tertulis 'mengandungi kultur yang hidup dan aktif'. 

Tomato
Warna merah pada buah tomato mengandungi banyak likopen yang kaya dengan antioksidan. Malah, penyelidikan menunjukkan bahawa makanan yang kaya dengan likopen mampu mengurangkan risiko penyakit paru-paru, kanser prostat, kanser kulit, kanser usus dan pengumpulan plak di pembuluh darah. 

Lobak merah
Lobak merah ini kaya dengan karotenoid di mana ia mampu mengurangkan risiko penyakit kanser dan artritis rheumatoid. 

Blueberi
Buah blueberi ini sangat kaya dengan antioksidan, serat, vitamin A dan C, di mana ia dipercayai dapat mencegah kanser, diabetes dan meningkatkan daya ingatan. 

Soya hitam
Semua jenis kacang soya baik untuk kesihatan jantung, namun soya hitam mempunyai khasiatnya yang tersendiri, iaitu ia dapat meningkatkan daya ingatan dan fikiran. Ini kerana soya hitam kaya dengan antosianin, iaitu sejenis antioksidan yang telah terbukti dapat memperbaiki fungsi otak. Soya hitam juga mempunyai protein dan serat serta mempunyai kalori yang rendah. 

Gandum
Gandum kaya dengan serat yang bersifat boleh larut dalam air, di mana ia bertindak untuk mengurangkan risiko serangan jantung. Gandum juga kaya dengan karbohidrat.

Bayam
Sayur bayam mengandungi asid lemak Omega 3 dan Folat yang membantu menurunkan risiko penyakit jantung, strok dan osteoporosis. Malah, ia juga dipercayai mengandungi zat yang boleh meningkatkan tenaga lelaki, yang dikenali sebagai folat yang mana ianya berupaya meningkatkan aliran darah ke zakar.




Monday, November 19, 2012

Tahukah Anda Kiwi Mampu Cegah Penyakit Nyanyuk


Walaupun mungkin ramai yang tidak menggemari buah kiwi kerana rasanya yang agak masam, namun tahniah kepada mereka yang sememangnya menggemari buah kiwi.

Buah Kiwi bukan sahaja sedap (bagi mereka yang menggemari) malahan mempunyai pelbagai khasiat tersembunyi khasnya kepada mereka yang menghidap penyakit Parkinson dan Alzheimer. 

Buah kiwi atau dalam bahasa saintifiknya ialah Actinidia Deliciosa merupakan buah yang kaya dengan vitamin dan dapat membantu mendapatkan tubuh yang sihat. 

Vitamin C
Vitamin C merupakan agen anti oksida yang dapat melindungimu dari terdedah kepada ancaman radikal penyakit , seperti barah dan sakit jantung. Selain itu, khasiat yang terdapat di dalam buah kiwi ialah dapat mencegah daripada penyakit Parkinson dan Alzheimer. 

Mata sihat
Bukan sahaja lobak merah yang bermanfaat untuk kesihatan mata. Buah kiwi juga dapat membantumu mendapatkan mata yang sihat kerana ia mengandungi Lutein dan Vitamin A. Lutein dapat membantu mata dalam penyerapan cahaya biru yang merosakkan mata, dan dapat mencegah degenerasi makula iaitu penyakit yang boleh menyebabkan kebutaan kepada golongan dewasa dan mereka yang berumur 55 tahun ke atas. 

Penghadaman protein
Buah kiwi dapat membantu dalam penghadaman protein tubuhmu. Kamu perlu tahu bahawa penghadaman protein yang tidak baik boleh menyebabkan pengeluaran toksin dalam badan dan boleh menyebabkan masalah seperti pertambahan berat badan, masalah badan berbau, dan juga nafas berbau.




Friday, November 16, 2012

Red Velvet Cup Cake Alalatuk...

Sempena cuti Awal Muharam semalam, saya pun apa lagi menyingsing lengan baju teringin sangat nak mencuba Red Velvet Kek yang macam sedap je tu.

Cari- cari resepi dari En Google dan terjumpa lah satu resepi yang saya kira senang jugak lah..


Bahan-bahan kek
115g butter
150g gula kastor
2 biji telur
250g tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
2 sudu besar serbuk koko
240 ml buttermilk 
2 sudu besar pewarna merah 
1 sudu kecil cuka putih (distilled vinegar)
sedikit esen vanilla 


Bahan-bahan topping
500g cream cheese
150g gula aising


Cara-cara
1. tak payah pening-pening kepala, campurkan je semua bahan dalam mixer dan pukul sampai sebati. guna kelajuan sederhana dah ok.
2. masukkan dalam loyang kalau nak buat kek. kalau nak buat cupcake masukkan dalam paper cup la ye.
3. bakar pada suhu 170 darjah celcius selama lebih kurang sejam untuk kek dan 1/2 jam untuk cupcake. 
4. sambil bakar tu boleh prepare topping. campurkan je cream cheese tu dgn gula aising dan pukul sampai sebati. 
5. dah habis bakar, tunggu sampai kek/cupcake sejuk sebelum hias dgn topping cheese tu. ikut kreativiti la ye nak hias mcm mana.


tips
+ kalau tak nak guna buttermilk boleh ganti dgn susu UHT je


Cer tengok ok tak Red Velvet Cup Cake saya tu..comel-comel gituuu...


Masih panas-panas lagi 
Comel kan hehe
Macam buruk je tapi rasanya nyum nyum

Memang gebuusssss


Friday, November 2, 2012

Nak Kurus..Nak kurus..Part 2



Dinner malam tadi, paha ayam yang di buat secara kukus..grill...panggang..kukus..grill...panggang..(ala-ala iklan masterchef tuu) dengan sos serta sedikit kacang buncis di makan selepas 15 minit minum Alpha Lipid SD2. Dengan Alpha Lipid kita masih boleh makan makanan yang seperti di atas (nyum nyum).. 

Tima kasih Chef Mi, sedap masakan anda! hehe



Rasanya baju-baju semua dah longgar, baju-baju yang simpan masa beli sbb tak berapa selesa pakai pun dah boleh pakai. Seronokkknya. Dengan Alpha Lipid saya berjaya menurunkan berat badan saya dengan secara semula jadi. Tak drastik sangat tapi terasa lah badan semakin susut. 

Anda bila lagi?? hehe 






Amy Search Kecewa...



Penyanyi lagenda rock tanah air, Amy Search meluahkan rasa kesal dan kecewanya apabila terpaksa menutup Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju baru-baru ini.
Menurut laporan Kosmo, restoran yang terkenal dengan masakan ala Cina yang sudah beroperasi selama empat tahun itu terpaksa ditutup kerana mempunyai pelbagai masalah.
"Saya sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup," katanya.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, dia memulakan perniagaan tersebut dengan modal sebanyak RM250,00 empat tahun lalu. Dia kemudiannya telah menyerahkan segala urusan perniagaan kepada seorang rakan namun ia berdepan dengan pelbagai masalah.
Namun Amy berkata, dia bernasib baik kerana telah mempatenkan nama Cheng Ho sebelum ini, oleh itu tiada pihak lain yang boleh menggunakan nama tersebut.
Dalam pada itu, Amy memberitahu bahawa kini dia sedang mencari pelabur baru untuk membuka kembali restoran itu di lokasi lain.
Terdahulu, pada tahun 2010 pihak Mahkamah Seksyen Sivil telah memerintahkan Amy untuk membayar ganti rugi sebanyak RM18,000 kepada Nik Zahir Nik Mohd Idris yang menfailkan saman bagi pihak anaknya Nik Zakwan, 6, yang melecur pada bahagian belakang badan selepas terkena kuah tomyam akibat kecuaian pekerja restoran itu.

Chef Riz & Ana Dahlia di landa masalah??



Cuba mengelak berkaitan isu pergolakan rumah rumah tangga pasangan selebriti Chef Riz dan juga Ana Dahlia akhirnya, Chef Riz mengakui rumah tangganya kini dilanda masalah.
"Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri" adalah pepatah yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi pasangan ini.
Dipetik dari laporan Kosmo, Riz akui bahawa kini rumah tangganya sedang bergolak namun tidak mahu mengulas lanjut berhubung dakwaan dia dan Ana telah pergi mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.
"Di dalam alam perkahwinan bukan semuanya indah, akan ada masalah juga, kini kami mengalami masalah. Namun saya tiada niat untuk ceraikannya."

Riz atau nama sebenar Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, yang juga merupakan anak kepada Chef nombor satu Malaysia, Chef Wan memberitahu dia amat sayangkan Ana dan mahu menyelamatkan perkahwinan yang baru dibina pada 10 Disember tahun lepas.
"Saya sayangkan dia. Buat masa ini tunggulah perkembangannya sahaja."
Ujar Riz lagi, dia tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan memberi kenyataan lanjut mengenai isu rumah tangga mereka. Gusar disalah erti, Riz mengambil inisiatif untuk mendiamkan diri dari memberi keterangan panjang lebar.


Tuesday, October 30, 2012

Siapa tak suka makan petai??

Keenakan petai sebagai ulam, jeruk, mahupun menjadi bahan dalam masakan seperti sambal tumis udang atau sambil ikan bilis dan sebagainya, membuatkan penggemar-penggemar petai berasa lapar. 

Di sebalik keenakan petai bersama kesan bau mulut yang kurang menyenangkan, petai turut mempunyai khasiat dan nilai perubatan yang tinggi. . 

Pokok petai merupakan spesis pokok asli yang tingginya sekitar 30 meter, dan banyak tumbuh di kawasan hutan Malaysia, Indonesia dan Thailand. Buah petai mempunyai kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding buah-buah hutan yang lain. Selain itu, buah petai mengandungi kalsium, fosforus, zat besi serta kaya dengan vitamin A, B1, B2 dan C (vitamin C boleh jadikan anda awet muda!). . 

Yang paling berkhasiat ialah petai yang segar dan besar buahnya. Jadi jika memilih petai di pasar tu, pilihlah yang bijinya nampak besar dan segar, itulah yang terbaik. . 

KHASIAT PERUBATAN PETAI

Biji Petai
* Khasiatnya ialah apabila dimakan dapat merawat masalah hati (liver), busung, bengkak buah pinggang, kencing manis (diabetes). Juga dapat membunuh cacing dalam perut serta usus, lalu keluar bersama najis.

Daun
* Daun petai boleh digunakan untuk merawat demam kuning. Caranya ialah dengan merebus daun petai, kemudian airnya dibuat minum. 

Akar (kulit akar)
* Ini khusus untuk rawatan kencing manis (diabetes), juga direbus kemudian airnya diminum. Amalkan selalu. 

Khasiat Petai Belalang
Petai belalang mempunyai buah yang kecil. Petai Belalang ini boleh didapati di kawasan kampung. Petai Belalang ini baik bagi mereka yang hendak merawat masalah buah pinggang, caranya ialah dengan mengeringkan sejumlah petai belalang. Setelah itu masukkan petai-petai yang telah dijemur kering itu ke dalam air panas. Minumlah ia setelah membiarkan seketika. Sangat mujarab. Bagi sesiapa yang ada masalah buah pinggang, bolehlah cuba. Setelah beberapa kali meminumnya, boleh jumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.



Thursday, October 25, 2012

SBDJ (Jilid 01) ‐ Siri 02 : Bertemu Dengan Penunggu Babi Hutan


Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan‐lahan percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar‐benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat‐urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan.

Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di pihaknya. Datuk terus mengucapkan begini :

Jong keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi

melemang………

Belum pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal belikatnya keras macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk terus bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : "Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu."

Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk kena pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan itu jadi sepi. Pemandangan datuk kembali normal yang ujud di depannya sekarang ialah sebatang pokok besar dengan akar‐akar bergayutan yang mencecah muka bumi.

Datuk menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera mencari anak‐anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah. Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu berkata : "Ini kawasan manusia, dan kau telah pulang ke tempat asalmu."

Datuk pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih kurang setengah jam. Kemudian baru kawan‐kawannya pulang. Semua binatang buruan di masukkan ke dalam bonet kereta Ford Angldia kepunyaan datuk. Dalam perjalanan pulang datuk dan kawan‐kawannya singgah di pekan Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum kopi disebuah warung dekat surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu adalah kenalan datuk yang sama‐sama satu datang dari Aceh. Datuk pun menceritakan tentang peristiwa yang dialaminya. Menurut tuan punya warung itu, setiap pemburu yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup sulit untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat atau separuh gila.

"Biasanya bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal, masa sakit itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau tidak berjumpa dengan dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit pada si anak, biasanya sakit suka pada anak bongsu." Terang tuan punya warung itu pada datuk. Datuk terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya warung itu ke tepi sungai. Datuk minta tuan punya warung itu memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun tujuh jenis, untuk mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah.

Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. Malah, kegemarannya untuk memburu bertambah gdiat dan hebat. Asal terdengar saja padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, datuk tidak akan melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat waktu sdiang, dia akan pergi waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang amat dicintai oleh datuk.

Kalau sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba menghalang. Dia tidak peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. Selalu jadi korban kemarahan datuk ialah nenek saya yang tidak bergitu senang dengan sikap datuk itu. Selain dari berburu datuk cukup rajin belajar ilmu‐ilmu kebatinan. Datuk pernah bertapa di Gua Ulu Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi tubuh datuk tidak susut.

Kalau ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak segan‐segan berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk tidak berhajat untuk menjadi seorang dukun. "Semua yang dicari hanya sekadar untuk pelindung diri," kata datuk.

Pada suatu pagi Ahad, datuk telah menerima kunjungan seorang temannya dari Port Weld, dekat Taiping diaitu Lee Kong Hua, seorang pengusaha kilang kopi. Setelah berbincang agak lama dengan kawannya itu. Datuk pun mengambil keputusan untuk pergi memburu babi yang selalu merosakkan tanamannya di Paya Besar. Kawannya itu bersetuju, mereka terus pergi ke balai polis Bruas memberi tahu tentang hajat mereka untuk memburu babi.

Hasrat datuk dan kawannya itu tidak dihalangi oleh pihak polis, kerana kawasan Paya Besar masih lagi belum telibat dengan kawasan hitam. Dengan kereta Ford Angldia mereka masuk ke dalam kawasan Paya Besar ikut jalan enam kaki. Sampai ke kawasan kebun getah lebih kurang pukul sepuluh pagi.

Kemudian datuk dan kawannya itu menyusul jejak tapak kaki babi menghala ke utara. Lebih kurang dua jam berjalan, babi yang dicari masih tidak ditemui. Mereka masih tidak putus asa. Lee Kong Hua sudah merancangkan bila dapat babi hutan nanti, dia akan membawa babi itu pulang dengan lori kepunyaan seorang kawannya yang sudah bersetuju datang ke kebun getah datuk lebih kurang pukul tiga petang. Dia mengira paling kurang lima ekor babi akan diperolehinya, kerana dia tahu datuk memang cekap menembak.

Jalan punya jalan akhirnya datuk dengan kawannya tersua dengan seekor babi hutan yang besar. Datuk melepas tembakan tapi, babi segera melompat masuk ke dalam belukar kecil yang penuh dengan pokok serunai laut, senduduk, datuk dan kawannya mengelilingi belukar kecil itu, tiba‐tiba babi itu keluar dari belukar dan berlari ke arah Ulu Dendang. Mereka terus memburunya. Masa memburu datuk dan kawannya terserempak dengan satu kumpulan babi. Dan babi yang mereka kejar itu berada tidak jauh dari kumpulan tersebut.

"Dia sudah luka," Datuk memberi tahu kawannya.

"Hati‐hati babi hutan luka selalunya ganas."

"Aku tahu, tunggu di sini, dia mesti ditembak, kalau tidak kita akan diserangnya," tambah datuk lagi. Kawannya akur pada cakap datuk.

Datuk memintas babi itu dari belakang. Babi itu berpusing mengadap ke datuk. Alangkah gembiranya hati datuk. Dia sudah mengambil tempat yang baik. Dia terus menghalakan muncung senapang ke arah kepala babi hutan itu. Macam selalu sasaran yang dipilih oleh datuk ialah pada kening setiap binatang buruannya. Bila pemetik senapang mahu ditarik babi itu memusingkan tubuhnya lalu masuk ke hutan sebelah kiri. Datuk terus mengikutinya dengan tenang.

Suatu ketika binatang itu berhenti. Datuk sudah pun mencari tempat yang baik untuk melepaskan tembakan. Entah macam mana bagaikan ada suatu kuasa yang menarik tangan datuk menarik pemetik senapang. Dan satu ledakan bergema. Babi terkejut dan terus lari. Datuk terus juga memburu hingga sampai ke Ulu Sungai Dendang. Di seberang sungai datuk melihat babi hutan itu menyondol‐nyondol tanah dengan tenang. Datuk berjalan menyusul tebing sungai ke hulu. Dia menyeberang melalui sebatang pokok merbau tumbang yang merintangi Sungai Dendang.

Jadi berada di kawasan itu, seperti berada di kawasan sendiri fikir datuk. Datuk pun sampai ke seberang. Ternyata datuk tidak boleh mendekati babi itu, kerana di pisahkan oleh satu kolam kecil yang airnya keruh. Kalau datuk melepaskan tembakan dari situ pun boleh, tapi datuk tidak mahu. Dia mahu menembak babi jarak yang dekat sekali. Datuk pun melompat kolam kecil yang seluas kira‐kira lima kaki itu. Datuk merangkak dan mencari tempat yang baik.

Babi hutan itu itu terus juga menyondol tanah. Datuk berdiri di seballik pokok ara. Tiba‐tiba datuk terasa telinganya berdesing, pandangannya berubah dan jadi berpinar‐pinar. Datuk bagaikan berada di satu dunia lain yang sunyi tapi amat menyeramkannya. Dengan pokok‐pokok yang beranika ragam dengan akar yang berjuntadian. Datuk mengira semuanya terjadi kerana dia terlalu letih, banyak membuang tenaga kerana belari. Dia mahu merebahkan babi hutan itu dengan segera, kalau babi itu tidak mati, nanti dia mengamuk, semua penoreh getah di Paya Besar akan diserangnya.

Datuk tahu, kalau babi hutan mengamuk cukup buruk padahnya. Datuk melihat babi hutan itu menyondol tanah di pangkal pokok besar. Datuk meletakkan buntut senapang di bahu. Dengan hati‐hati dia pun menarik pemetik senapang. Datuk jadi gawat sekali. Senapang itu tidak berbunyi dan babi hutan terus menyelinap ke balik pokok besar.

Dari celah pokok besar itu muncul seorang wanita yang sungguh cantik. Dia mahu mendekati datuk dan mengatakan bahawa babi itu berada tidak jauh daripada pohon itu. Dia suruh datuk memburunya dan datuk sudah tahu, dia terperangkap lagi. Wanita di hadapan datuk terus bercakap dengan manjanya. Bau harum yang sangat asing menyusuk lubang hidung datuk. Datuk merasa dirinya seakan‐akan melayang‐layang.

Datuk segera bertafakur menyatukan mata batin dan seluruh kekuatan pancainderanya. Dia terasa ada sesuatu kuasa yang menyuruh dia ke seberang sungai. Datuk menentang kuasa itu dengan penuh
keyakinan. Kali ini datuk terasa dia mula tewas. Dia terdengar suara perempuan cantik itu ketawa. Datuk membuka mata. Perempuan cantik itu sudah tiada lagi di hadapannya. Datuk berpatah balik.

Bila datuk sampai ke seberang. Suara desing di telinganya sudah hilang. Pandangnya tidak berkunang. Pokok‐pokok besar yang dilihat bergayut dengan akar tadi, ternyata hanya pokok‐pokok kecil yang tidak ada akar bergayut. Datuk duduk di situ, beberapa saat, kemudian kawannya Lee Kong Hua pun sampai ke tempatnya.

"Kenapa ?" tanya kawan datuk

"Kita balik."

Mereka pun segera pulang ke kebun getah. Sampai di situ sudah ada lori yang dijanjikan oleh Lee Kong Hua menunggu. Datuk terkejut disamping pemandu dua orang anggota polis seorang berpangkat sarjan dan seorang lagi polis biasa.

Datuk kenal yang berpangkat sarjan itu namanya Ali, lebih dikenali dengan nama Sarjan Ali, orang Paya Ara dan membeli tanah berhampiran dengan rumah datuk.

"Kenapa Tok," tanya datuk dengan tenang kepada sarjan itu.

"Kalau saya tahu tadi, awak nak memburu mesti saya tahan, saya tahu awak akan sampai ke Ulu Dendang," kata Sarjan Ali.

Datuk diam. Kemudian Sarjan Ali terus menyoal datuk, kalau datuk mengalami perkara ganjil semasa berburu. Datuk bercerita apa yang dialaminya tadi.

"Saya dah duga kawasan itu keras ada penunggunya, banyak orang yang berburu ke situ tidak pulang, sebulan dulu Cina dari Setdiawan hilang ghaib entah ke mana berburu di situ, bila dikesan cuma jumpa kain dan rangka sahaja yang tinggal," sambung Sarjan Ali. Meremang bulu roma datuk mendengarnya.

Kemudian datuk dan kawannya ke jalan besar. Terus pulang ke rumah. Penerangan yang diberikan oleh  Sarjan Ali itu membuat datuk ingin lagi sekali pergi berburu di daerah itu. Walau bagaimana pun hasrat itu dibatalkan oleh datuk sesudah dia menemui seorang tua di Kampung Cangkat Berangan. Orang itu berkata pada datuk begini : "Jangan pergi, kalau kau menerima cakap perempuan itu yang menyuruh kau mencari babi itu, kau akan hilang entah ke mana."

"Saya nak jumpa juga."

"Tambahkan lagi ilmu pendinding diri untuk kau." Kata orang tua itu. Namanya Tok Aki Simbang, waktu mudanya dia seorang pendekar malah pernah terlibat dalam peperangan Larut. Dia adalah orang kuat Long Jaafar.

Datuk pun belajar lagi beberapa ilmu kebatinan dengan Tok Aki Simbang. Orang tua itu pun
mencurahkan ilmunya pada datuk. Dan datuk memang pun berazam untuk menemui perempuan cantik itu.




Wednesday, October 24, 2012

10 Peminat Bertuah di Jemput Datuk Lee Chong Wei




Sepuluh peminat bertuah pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei akan dijemput untuk menghadiri majlis makan malam resepsi perkahwinan pemain nombor satu dunia itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Nov.
Pengarah Pemasaran Jenama Chong Wei Bina Jaya Sdn Bhd Sachi Choo berkata apa yang peminat perlu lakukan ialah terus bersama Chong Wei dalam kemas kini status akaun Facebook rasminya iaitu ''Lee Chong Wei Official Fans Club''. 
"10 peminat bertuah itu akan dipilih oleh Datuk Lee dan (bakal pengantin)
Wong Mew Choo," katanya kepada pemberita pada persidangan media bagi mengumumkan rancangan perkahwinan itu di Bandar Puteri di Puchong hari ini. 
Majlis makan malam resepsi itu akan diadakan selama dua malam iaitu 9 Nov (Jumaat) bagi tetamu jemputan dan 10 Nov (Sabtu) bagi anggota keluarga dan rakan-rakan.
"Selain itu, peminat juga akan mengetahui lebih tentang Chong Wei dengan muat turun android dan aplikasi IOS ''Lee Chong Wei''," kata Choo.
Mengenai perkembangan lain, beliau berkata syarikat itu memandang berat mengenai penyalahgunaan nama Chong Wei untuk tujuan komersil melalui laman web palsu di Internet.
"Kita tahu banyak laman dicipta oleh peminat. Kami memberikan mereka masa untuk menyingkirkan laman tersebut, menukar nama laman web atau mengisytiharkan bahawa laman web mereka sebagai laman tidak rasmi, sebelum kami meneruskan dengan tindakan undang-undang," katanya.
-- BERNAMA

Rozita Che Wan Bogel ??????


Aktres seksi yang tidak henti disapa kontroversi, Rozita Che Wan menafikan bahawa gambar bogel ketika sedang chat video yang tersebar di internet pada awal tahun 2012 di laman blog tempatan itu adalah dirinya.
Dipetik dari laporan sebuah portal hiburan tempatan, Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta memberitahu dia sendiri tidak tahu menggunakan kamera video, apatah lagi melakukan perkara bodoh sedemikian. 


"Saya tidak pernah bervideo chat. Malah saya tidak tahu apakah itu chat video mahupun webcam. Saya tidak tahu jika telefon saya boleh berbuat sebegitu atau tidak.
"Saya tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk seperti ini. Apatah lagi ini pertama kali saya mendengarnya kerana sehingga kini, saya masih belum pernah melihat gambar yang dimaksudkan itu," ujar aktres "Kiah Pekasam" ini. 
Namun apabila ditanya sekiranya gambar yang tersebar menggunakan teknik super impose, Che Ta berpendapat tidak tetapi memberitahu mungkin ada yang benar-benar menyerupai wajahnya.
"Saya tidak rasa ada yang akan berbuat demikian, tetapi mungkin pelanduk dua serupa. Ada rakan saya memberitahu sekarang ramai mak nyah yang menyerupai saya," jelasnya lagi.
Che Ta turut merasakan berkemungkinan besar ada pihak yang cemburu dan cuba menjatuhkan kariernya sehingga menabur fitnah terhadapnya.





Awas..Tuala Sarang Pembiakan Bakteria




Tuala adalah sejenis fabrik penyerap atau kertas yang digunakan untuk mengelap atau mengeringkan. Ia menyahkan kelembapan melalui sentuhan dengan gerakan memedap atau menyapu. 

Tuala merupakan peralatan wajib yang perlu anda bawa ketika hendak mandi. Ia digunakan untuk mengelap dan mengeringkan seluruh tubuh, oleh itu kebersihannya perlulah dijaga dengan baik kerana ia boleh mempengaruhi kesihatan. 

Tuala yang kotor akan menjadi sarang pelbagai jenis bakteria sehingga ia boleh mengundang kepada masalah kesihatan kulit. Ini kerana, setiap hari sekurang-kurangnya dua kali tuala akan digunakan untuk mengeringkan badan. 

Sebaiknya, anda sentiasa memberikan perhatian yang lebih kepada perawatan dan kebersihan tuala anda. 

Pastikan tuala kembali dalam keadaan kering setelah anda gunakan agar tiada kulat yang melekat padanya. Jemur tuala di tempat yang kering dan terkena sinar matahari. 

Warna tuala yang berubah sedikit gelap setelah digunakan berhari-hari menandakan kulit anda masih melekat dengan kotoran meski anda telah membersihkan tubuh menggunakan sabun. Ia juga menandakan bahawa bakteria telah berkumpul di tuala anda. 

Keringkan tuala setiap kali selepas digunakan agar tiada kulat yang melekat padanya. Pastikan tuala dijemur dengan elok setiap kali selepas digunakan.Untuk memastikan tuala kita sentiasa bersih, seeloknya cucilah tuala sekerap yang boleh agar tuala yang kita gunakan sentiasa bersih dan berbau harum. 

Sebolehnya rendamlah tuala di dalam air yang agak panas yang telah dicampurkan dengan sabun pencuci selama 30 minit dan rendam tuala secara berasingan dengan pakaian-pakaian yang lain. 

Jika ingin menggunakan tuala baru buat pertama kali, seeloknya cuci dahulu tuala baru itu sebelum digunakan kerana kita tidak tahu berapa banyak bakteria yang telah membiak di atasnya semasa ianya di kedai. 

Oleh itu, rendamkan dengan air hangat bersama sedikit detergen sebelum mencuci tuala anda.Dengan cara ini,selain menjaga kebersihan ia juga dapat menjaga kesihatan tubuh badan kita daripada bakteria.




Tempe oh Tempe

Sepotong tempe mengandungi berbagai unsur yang berkhasiat seperti karbohidrat, lemak, protein, serat, vitamin, enzim, daidzein, genisten, serta komponen antibakteria yang bermanfaat untuk kesihatan. 

Selain itu, tempe juga meningkatkan nilai pengambilan gizi harian kita, seperti kadar vitamin B2, vitamin B12, niasin, dan asam pantorenat. 

Hasil daripada analisis, gizi tempe menunjukkan kandungan niasin sebanyak 1.13 mg/100 gram berat tempe yang dapat dimakan. 

Bukan sahaja senang didapati malahan cara penyediaannya juga mudah. Rasanya amalan memakan tempe untuk menu diet anda amat berbaloi. 

Ikuti sepuluh fakta ringkas mengenai pemakanan tempe seperti berikut : 
1. Protein yang terdapat dalam tempe sangat tinggi dan ia mudah dicerna baik untuk mengatasi diare (Elak keracunan). 

2. Mengandungi zat besi, flafoid yang bersifat antioksidan mampu menurunkan tekanan darah yang mana elok untuk mereka yang menghidapi darah tinggi. 

3. Mengandungi superoksida desmutase yang dapat mengendalikan radikal bebas, baik bagi penderita sakit jantung. 

4. Penderita anemia (masalah berat badan). Anemia dikesan apabila kadar hemoglobin rendah kerana kurang zat besi (Fe), tembaga (Cu), zink (Zn), protein, asam folat dan vitamin B12, di mana unsur-unsur tersebut terkandung dalam tempe. 

5. Anti infeksi. Hasil soal selidik menunjukkan bahawa tempe mengandungi agen anti bakteria yang dihasilkan oleh karang tempe (R. Oligosporus) merupakan antibiotik yang mengurangkan risiko jangkitan kuman. 

6. Daya hipokolesterol. Kandungan asam lemak padat pada tempe bersifat dapat menurunkan kadar kolesterol. Jika anda tidak gemar memakan oat, boleh cuba cara ini! 

7. Memiliki sifat anti oksidan, menolak kanser. 

8. Mencegah masalah gizi berlebihan (akibat kekurangan dan kelebihan gizi) beserta berbagai penyakit yang berkaitan, baik jangkitan ataupun degeneratif. 

9. Mencegah timbulnya hypertension (Simpton cepat marah). 

10. Kandungan kalsiumnya yang tinggi, tempe dapat mencegah osteoporosis. Dalam erti kata lain, tempe bagus untuk tulang. Jika anda kurang gemar meminum susu, amalkan pengambilan tempe di dalam menu diet anda.




SBDJ (Jilid 01) ‐ Siri 01 : Bercakap Dengan Jin


Siapa minat buku Siri Bercakap Dengan Jin? Memang famous la zaman dolu dolu, hingga sekarang rasanya masih ramai lagi orang yang berminat mencari buku ni. Jom kita baca sama-sama kisah Tamar Jalis dengan datuknya...



Suatu petang dalam tahun 1960. Datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang dia berkata pada saya "Kamu usah jadi pemburu." "Kenapa tok?" Dia tidak terus menjawab. Datuk terus menimang‐nimang senapangnya.

Kemudian datuk ambil golok perak dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. "Aku tak mahu cucu‐cucu aku jadi pemburu," tiba‐tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan sebarang pertannyaan lagi padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari anak‐anak cucunya sendiri.

Datuk memang handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi Upeh macam datuk. Cukup asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh hutan Jajahan Dinding dijelajahnya. Orang‐orang kampung menganggap datuk bukan pemburu sebarangan. Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia berani masuk ke dalam hutan yang tidak pernah didatangi oleh manusia. Datuk tidak menembak sebarangan pada binatang‐binatang buruannya. Dia akan memilih tepat dikening diantara kedua‐dua kening binatang itu. Dan setiap kali datuk masuk ke hutan dia akan memulakan langkah kaki kiri dahulu.

Kedua belah tumitnya tidak memijak bumi, kecuali sesudah lima tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia membaca sesuatu, lalu mematah ranting kayu yang berada di bawah ketiak kanannya lalu dilemparkanya sebelah kiri.

Datuk dapat senapang bukan kerana dia HomeGuard atau AP. Dia minta sendiri pada kerajaan dengan alasan mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang ditanam dengan getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan datuk dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu dan ketua kampung memeriksa tanah datuk. 

Datuk beli senapang dari Taiping dalam tahun 1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan senapang. Sebelum itu datuk hanya berburu dengan membuat jerat dan sebagainya. Banyak perkara‐perkara aneh yang datuk lalui sepanjang kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu mendengar cerita‐cerita datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di kebun, kadang‐kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya, kerana saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya iaitu ibu saya.

Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemaranya. Dia pemurah dan suka mendengar orang mengaji Al‐Quran, kebetulan pula saya cucunya yang agak terkenal membaca al‐Al‐Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut mengeluarkan wangnya untuk memberikan pada orang mengaji tapi datuk tidak memberikannya sendiri melainkan melalui saya.

Biasanya, kalau datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh saja, yang separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada saya: "Suatu ketika datuk dan kawan‐kawannya masuk hutan dekat dengan Gunung Tunggal di Kawasan Segari berhampiran denga Pantai Remis.

Kawasan itu tidak pernah dimasuki oleh manusia. Datuk dan kawan‐kawannya berjaya menembak beberapa ekor binatang. Kerana terlalu asyik memburu, tanpa disedari datuk telah terpisah dengan seekor rusa besar. Datuk mengikutnya dengan teliti. Datuk memintas rusa itu sebelah kiri dan mengambil tempat di sebalik pokok besar. Datuk mengahala muncung senapang pada kepala rusa. Dia yakin sasarannya akan tepat pada tempat yang dimahunya. Tetapi rusa itu bagaikan mengerti danmempunyai pengalaman. Dia mempermainkan datuk, macam mempermainkan kucing. Rusa merendahkan badannya kemudian menyelinap di depan datuk dan terus hilang.

Datuk terkejut dan bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah putus asa. Dia mencari kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah mana tapak rusa itu lari. Dia mencium daun‐daun kering yang terdapat di situ. Akhirnya, datuk merapatkan telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, ternyata kesan rusa itu sukar diperolehinya. Waktu datuk berpusing‐pusing di situ. Seekor rusa lain muncul di depan datuk. Rusa itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi. Matanya berkilau‐kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. Datuk gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut golok perak di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan matanya. Datuk membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.

Bila datuk memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk sekarang wujud dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. Dia mula terasa ada sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk terdengar kokok ayam hutan. Datuk melepaskan tembakan. Kena pada salah seekor rusa itu di kening. Rusa itu rebah dan bangun kembali menjadi tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian yang lain di sebalik semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia lemah semangat, kalau tidak masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh, berperahu ke Pengkalan Bharu dan bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus menembak bertalu‐talu. Rusa terus menjadi tiga, empat, lima, enam dan tujuh. Kokok ayam hutan bertambah nyaring.

Daun‐daun hutan di keliling datuk bergerak‐gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak‐gerak. Datuk senyum. Dia tahu perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah neneknya dari tanah seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak, alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.

Muka datuk jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat‐rapat. Mata datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar, matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia diapit oleh enam jin yang sama hebat dengannya.



"Kurang ajar, manusia laknat," suara itu bergema, daun‐daun hutan bergerak macam ditiup angin. Datuk diam bertafakur.

"Kau tahu kesalahan kau manusia ?" Tambah suara itu . Belakang datuk terus dibasahi peluh datuk. 

Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang‐lubang kelemahan tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.

"Tidak," jawab datuk dengan berani.

"Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku."

"Aku sudah meminta kebenaran."

"Aku tidak membenarkan." Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak‐gerak.

"Kalau kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk tadi." Cukuptenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi semuanya.

"Kau manusia biadap," pekik jin itu, pokok hutan bergerak‐gerak.