Monday, November 8, 2010

Kawal Jumlah Pengambilan Makanan

oleh Kusyi Hirdan


PANDUAN...Kevin lancarkan E-Book panduan Kurangkan 5 Kg Dalam 5 Minggu, Julai lalu.

BIMBING...Kevin akui ramai rakyat Malaysia kini semakin ambil berat soal kesihatan dan pemakanan sihat.
 

RAMAI yang menjadikan waktu makan sebagai aktiviti rutin sekeluarga demi memupuk kebahagiaan bersama. Namun sebenarnya, dari situ juga elok dijadikan pemula memupuk pemakanan sihat kepada ahli keluarga dan anak.

Siapa yang perlu menjadi pelaksana pada hidangan makanan sihat dalam keluarga? Tentu saja ibu bapa. Guru di sekolah mengajar dan memberi maklumat, tetapi di rumah, tugas ibu bapa melaksanakannya.

Ibu bapa pemula memberi kesedaran kepada anak mengenai betapa pentingnya mengambil tahu apa yang tidak elok dan apa yang elok dimakan demi kesihatan jangka panjang. Adakah makanan itu untuk memberi tenaga, membina badan atau untuk menjauhkan penyakit?

Bukan semua makanan Melayu tidak sihat. Hendak bertukar ke makanan Barat, sama saja. Jika kita banyak menggunakan santan, berlemak dan menggoreng, makanan Barat juga banyak menggunakan krim, mentega dan manisan.

Pokoknya, adakah kita mahu mengganti resipi dengan pilihan sihat? Contohnya, santan diganti susu rendah lemak. Garam diganti perahan limau? Gantikan kerangupan ikan goreng dengan ikan kukusan atau salai? Tentu ramai yang berkerut dahi kerana selera umpama terputus.

Novelis terkenal, Norhayati Berahim sudah lama tidak menggunakan santan dalam masakannya. Setiap resipi menggunakan santan digantinya dengan susu rendah lemak dan ini sudah menjadi kebiasaan dalam keluarganya.

"Kata bapa saya, kenapa kari yang saya masak sedap sungguh. Saya beritahu dia, saya guna susu dan tidak santan. Sejak itu, sekiranya dia datang rumah saya akan masak kari dan dia makan bersungguh-sungguh.

"Biasanya saya guna ayam kampung. Kalau gunakan santan rasanya cuma lemak, tetapi menggunakan susu rendah lemak, ada rasa manis dan lemak sekali jadi ia lebih sedap," katanya.

Ini antara langkah pertama yang patut kita lakukan dalam memahami aspek mengenai kesihatan dan pemakanan sihat. Bila muncul kesedaran dan minat, segalanya jadi lebih mudah sebagaimana wanita berumur 27 tahun ini yang semakin berminat pada ilmu pemakanan dan kesihatan, Noor Farahi Kamaruddin.

"Minat saya bercambah selepas mengikuti program matrikulasi dahulu. Ketika itu, tidak ramai orang faham dan sedar mengenai pemakanan. Program ini pun tidak begitu popular berbanding kursus perubatan, farmasi atau pergigian," katanya.

Lalu Farahi meneruskan pengajian di bidang pemakanan. Daripada peringkat ijazah sarjana muda hinggalah ke peringkat sarjana. Sekarang dia sedang menyiapkan tesis sarjananya dalam pemakanan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Kini, secara keseluruhannya, Farahi lebih tahu mengenai pemakanan sihat sekali gus mengambil banyak inisiatif mengubah dirinya menjadi lebih sihat.

"Contohnya, pengambilan sarapan yang sangat penting bagi setiap individu, dahulunya mungkin saya jarang ambil, tetapi sekarang saya pastikan sentiasa mengambil sarapan. Begitu juga senaman secara tetap.

"Memang dahulu saya jarang bersenam, tetapi sekarang sama ada pagi atau petang, saya pastikan diri berjoging atau setidak-tidaknya berjalan sekeliling kampus," katanya.

Farahi mengubah rutinnya setelah mengetahui ilmu kesihatan dan pemakanan serta segala kaitannya. Ramai yang tidak sampai ke tahap pengetahuan seperti Farahi, tetapi kita masih boleh mendapatkan ilmu mengenai kesihatan dan pemakanan sihat di hospital kerajaan atau swasta.



 
 

No comments:

Post a Comment