Saturday, November 13, 2010

Wanita bekal bayi direman



2010/11/13
Suspek miliki banglo, beberapa kereta mewah

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 40-an yang hidup mewah hasil membekalkan bayi kepada sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh, di sini, dipercayai sindiket penjualan bayi, ditahan polis Selasa lalu.

Wanita yang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman, di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan ditahan reman selama seminggu mulai Rabu lalu.


Sumber berkata, wanita itu dibawa ke IPK Kuala Lumpur memandangkan kes terbabit di bawah siasatan mereka dan perintah reman diperoleh di Pusat Tahanan Sementara, Bukit Jalil di sini.
Difahamkan wanita itu mendiami sebuah banglo dan memiliki beberapa kereta mewah dipercayai hasil membekalkan bayi kepada hospital itu sejak beberapa tahun lalu. 

Sumber polis berkata, suspek dipercayai mencari wanita mengandung sekitar Pantai Timur dan membeli bayi terbabit sebelum diserahkan kepada hospital itu.

Kita percaya suspek membekalkan bayi kepada hospital berkenaan berdasarkan penemuan beberapa dokumen kelahiran palsu bersama suspek.

Suspek dipercayai dibayar untuk membeli bayi terbabit sebelum menyerahkan mereka kepada hospital itu untuk dijual, katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi ketika dihubungi Berita Harian semalam mengesahkan penahan wanita terbabit namun enggan mengulas lanjut kerana kes itu di bawah siasatan Bukit Aman dan IPK KL.

Berita Harian sebelum ini melaporkan, seorang doktor bergelar Datuk ditahan bersama isteri serta anak perempuannya dan tiga kakitangan sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh pada 1 November lalu kerana terbabit dalam sindiket penjualan bayi.

Mereka ditahan jam 4.15 petang, selepas urusan jual beli seorang bayi perempuan bernilai RM21,000.

Keenam-enam suspek itu ditahan reman selama lapan hari untuk siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis, Selasa lalu. 

Selain keenam-enam suspek terbabit, tiga lagi suspek termasuk seorang wanita turut ditahan Selasa lalu bagi membantu siasatan. 

Kelmarin, BERNAMA melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, tidak menolak kemungkinan sindiket penjualan bayi oleh hospital swasta di Jalan Ipoh itu ada kaitan dengan sindiket penjualan bayi di Sarawak, Julai lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati dokumen kelahiran bayi di hospital swasta itu dikeluarkan sindiket jual bayi yang pernah dibongkar di Sarawak.

Mohd Bakri berkata, sehingga kini polis menemui dan mengenal pasti 15 dokumen kelahiran bayi yang meragukan ditemui di hospital swasta di Jalan Ipoh yang dipercayai bagi urusan penjualan. 






No comments:

Post a Comment