Tuesday, November 23, 2010

Untung 9 bulan CIMB RM2.64b

Oleh Shahrizan Salian

2010/11/22



Kumpulan umum bayaran dividen khas 13.45 sen

CIMB Group Holdings Bhd meraih keuntungan bersih RM2.64 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2010, meningkat 31.9 peratus berbanding RM2 bilion yang dicatat dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh itu, pendapatan yang diraih kumpulan perbankan kedua terbesar Malaysia itu meningkat sebanyak 11.4 peratus kepada RM8.78 bilion berbanding RM7.89 bilion sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukainya melonjak 28.7 peratus kepada RM3.5 bilion berbanding 2009.


Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2010, CIMB mencatat keuntungan bersih RM915.7 juta didorong pemerolehan pendapatan sebanyak RM2.91 bilion.
Susulan prestasi memberangsangkan itu, kumpulan mengumumkan pembayaran dividen khas sebanyak 13.45 sen yang keseluruhannya berjumlah RM1 bilion yang akan dibayar kepada pemegang sahamnya sebelum 31 Disember ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, berkata keputusan kewangan sembilan bulan itu adalah yang pertama menepati rangka kerja Basel II.

Ia, katanya, sekali gus mencerminkan komitmen kumpulan ke arah tahap tertinggi tadbir urus korporat dan ketelusan.

Kumpulan mencatatkan satu lagi rekod sukuan dalam perolehan bersih. Antara perkara utama lain pada suku ketiga lalu adalah pelaksanaan standard Basel II, peningkatan dalam nisbah mutu aset kumpulan dan dividen khas, katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Nazir menjelaskan, dividen khas itu adalah hadiah kepada pemegang saham berikutan kesabaran mereka memandangkan nisbah bayaran kumpulan beberapa tahun kebelakangan adalah rendah disebabkan kumpulan mengambil pendekatan berhati-hati menuju pelaksanaan FRS139 pada suku pertama dan Basel II.

Bagi sembilan bulan pertama 2010, keuntungan sebelum cukai perbankan pelanggan kumpulan berkembang sebanyak 20.2 peratus berbanding tempoh sama 2009 hasil gabungan peningkatan berterusan dalam segmen perbankan runcit dan kad kredit selain pemulihan dalam Pengurusan Aset Khas Kumpulan (GSAM).

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai sembilan bulan yang dicatatkan perbankan pelaburan dan korporatnya meningkat 74.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM746 juta sejajar pasaran modal serantau yang lebih mantap pada tempoh dikaji.

Unit Indonesia kumpulan, CIMB Niaga mengukuh sebanyak 111.1 peratus kepada RM1.17 bilion berbanding RM558 juta sebelumnya yang disumbangkan daripada pertumbuhan kukuh pinjaman, penambahbaikan dalam operasi serta persekitaran baik.

Keuntungan yang diraih daripada CIMB Thai sepanjang tempoh kajian pula meningkat sebanyak 190.5 peratus kepada RM61 juta daripada RM21 juta tahun lalu.

No comments:

Post a Comment