Sunday, November 14, 2010

3 Kali Kad Merah 3 Kali Bolos



KAPTEN pasukan negara, Safiq Rahim dilayangkan kad merah 
kedua pada pertemuan dengan China, malam tadi. Malaysia tewas 3-0.

MALAYSIA melangkah ke pusingan kedua bola sepak Sukan Asia Guangzhou 2010 
sekalipun tewas kepada China 0-3 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A di Stadium Tianhe, 
semalam yang penuh dramatik dengan tiga pemain negara dilayangkan kad merah.

Malaysia menepati sasaran - menamatkan penantian 32 tahun untuk ke pusingan kedua - 
selepas menjadi salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik, daripada 

enam kumpulan dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan, mengatasi 
Palestin dan Maldives yang memungut satu dan dua mata dalam kumpulan masing-masing.

Namun, permainan yang dijangka menarik pada awalnya, memihak kepada China pada minit 
ke-25 apabila tiga kad merah dilayangkan pengadil Ben Williams dari Australia kepada 
Mahalli Jasuli dan kapten, Safiq Rahim serta K Kunalan pada minit ke-80.

Situasi itu memaksa jurulatih K Rajagobal yang sudah pun kehilangan beberapa tonggak, 
tidak punya pilihan selain membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan K Gurusamy 

bagi menggantikan Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Faizal Muhamad untuk Amar Rohidan 
pada babak pertama dan Izzaq Faris Ramlan dengan Norshahrul Idlan Talaha di babak kedua.

Saya kecewa dengan pengadilan. Dengan 10 pemain pun saya yakin kami mampu mengikat 
mereka tetapi tanpa dua pemain termasuk Safiq, dan kemudian Kunalan, tiada apa yang 

pemain mampu lakukan.

Namun saya puji sikap pemain muda kita yang tetap melawan. Bagi saya, pengadil merosakkan 
segala-galanya, kata Rajagobal yang mengakui tidak mengetahui Malaysia sudah layak ke pusingan 

kedua sebelum permainan itu bermula tetapi perlu memikir strategi terbaik untuk menghadapi 
juara Kumpulan B, Iran, di pusingan kedua, esok.

Dalam perlawanan di depan 25,000 penonton itu, China menguasai sepenuhnya permainan 
untuk mengembalikan sokongan peminatnya selepas kalah kepada Jepun tempoh hari, dengan 

mengasak seawal minit kedua apabila penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa melayangkan 
badan untuk menafikan cubaan pertama tuan rumah. 

Dengan corak permainan bertahan, China mengasak bertubi-tubi tetapi Khairul Fahmi sekali 
lagi menafikan tandukan Zhang Yuan pada minit ke-16 dengan peluang terbaik negara diperoleh 

daripada hantaran silang S Chanturu tetapi tiada rakan yang menyambar hinggalah insiden 
dua kad merah yang merencatkan terus permainan.

Namun pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras terutama Khairul Fahmi 
yang banyak menyelamatkan cubaan bahaya tuan rumah sebelum tertewas dengan tandukan 

Li Jianbin pada minit ke-62, sepakan percuma Zhao Hongiue (m65) dan penalti Zhang Linpeng (m81).



































No comments:

Post a Comment