Monday, November 8, 2010

Yuna nak cabar kehebatan Faizal
Oleh Hanisah Selamat 
nisa@bharian.com.my


 
RASA teruja tidak mampu disembunyi dua penyanyi yang pernah bersaing sengit di Anugerah Juara Lagu tahun lalu, Faizal Tahir dan Yuna apabila masing-masing sekali lagi dicalonkan mara ke peringkat separuh akhir pertandingan berprestij itu bermula di TV3, malam ini.

Sememangnya mereka kini bintang yang bersinar garang, bukan hanya dianugerahkan kekuatan vokal malah mampu menghasilkan dendangan sendiri yang punya jiwa hingga dalam hampir setiap pertandingan boleh diagak kelibat siapa kelihatan.

Seperti dijangka, pada percaturan kali ini antara 30 lagu undian peminat menerusi laman web menyenaraikan tiga dendangan Faizal - Adrenalin, Selamat Malam dan Hanyut manakala Yuna biarpun hanya ‘sangkut’ satu lagu, Cinta Sempurna dikatakan bakal memberi saingan sengit.

Faizal yang turut memberi sentuhan lirik terhadap ketiga-tiga gubahan Audi Mok itu mengakui tetap berdebar menanti keputusan calon yang layak ke separuh akhir Muzik Muzik ke-25 sekali pun pernah merangkul tempat ke dua, pada malam kemuncak edisi tahun lalu.

“Terima kasih kepada peminat kerana mempercayai Adrenalin, Hanyut dan Selamat Malam. Namun jika diminta membuat pilihan mana satu lagu kegemaran saya, itu sesuatu yang sukar kerana setiap satu punya gaya serta kekuatan tersendiri.

“Cuma yang paling menyeronokkan hanyalah selepas empat tahun, inilah pertama kali lagu rancak saya berpeluang mara ke Muzik Muzik berbanding sebelum ini apabila rezeki lebih berpihak kepada dendangan melankolik,” katanya ketika ditemui selepas acara undian giliran separuh akhir.

Sudah dinamakan percaturan, secara kebetulan ketiga-tiga cabutan undi meletakkan lagu naib juara One I A Million (OIAM) sebagai calon terakhir mengadakan persembahan pada malam penentuan yang berlangsung pada 8 November, 15 November dan 22 November ini di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Mengakui debaran lebih berganda apabila muncul sebagai peserta terakhir pada setiap minggu, sedikit sebanyak keadaan itu pasti memberi tekanan namun sebagai penyanyi, tanggungjawab membawakan lagu Audi Mok tetap digalas sepenuh hati.

Menganggap gubahan lain tidak kurang hebatnya termasuk Drama King yang disampaikan Meet Uncle Hussein dan Black sentuhan Taja bersama Tun Teja, dan Pelita (A.P.I), garapan berkenaan disifatkan sempurna baik daripada susunan melodi serta seni katanya.

Bagi teman seperjuangan, si empunya nama Yunalis Zarai, medan pertembungan dengan 29 lagu lain di pentas Muzik Muzik masih mendebarkan sekali gus sebagai
platform untuknya terus mendekati pendengar tempatan bersama nukilan segar.

“Kalau melihat persaingan, bagi saya semua pilihan pendengar punya keunikan masing-masing, cuma secara peribadi saya tertarik dengan lagu Audi Mok dan Faizal (Tahir), Selamat Malam kerana ia dominan malah ibu saya sendiri menyukai lagu itu.

“Anugerah Juara Lagu pula saya sifatkan sebagai platform terbaik bagi seseorang komposer, penulis lirik dan penyanyi menonjolkan produk kepada peminat muzik sejak 25 tahun ia bersiaran dan sebagai karyawan muda, saya amat memerlukan sokongan seumpama ini,” katanya yang akan terbang ke Amerika Syarikat awal tahun depan.

Menyentuh mengenai persediaan ke malam penentuan, ulas Yuna penekanan lebih menjurus terhadap kemampuan vokalnya dan mungkin jika ingin menyuntik kelainan menerusi gubahan semula, ia hanya akan dilakukan jika mendapat peluang ke peringkat seterusnya.

Rasa teruja penyanyi yang baru mencecah 24 tahun itu juga semakin terserlah apabila berkongsi cerita berkunjung semula ke Los Angeles (LA) bagi menyiapkan beberapa lagi gubahan sekali gus menyambung tugasan yang dilaksanakan di studio sama pada Ramadan lalu.

“Saya bersyukur berada di bawah label Indiepop yang berpangkalan di LA sekali gus semua perbelanjaan ditanggung syarikat berkenaan malah pemergian pada awal 2011 nanti berkemungkinan besar untuk tempoh enam bulan.

“Sambil menyiapkan lagu, saya juga masih sempat mencuri masa mencari bahan untuk EP yang memuatkan empat atau lima lagu. Himpunan sedia ada sudah mencukupi tetapi saya mahu membuat pilihan lagi dengan menyiapkan lebih banyak dendangan,” katanya lagi.



No comments:

Post a Comment