Saturday, November 27, 2010

Aku Tak Bodoh komedi menarik, penuh nasihat

Mesti Tonton: Teguran buat ibu bapa


2010/11/27


DIBUAT semula berdasarkan filem popular Singapura, I Not Stupid Too (2006), Aku Tak Bodoh hadir di pawagam tanah air sebagai judul komedi menghiburkan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. 

Dilihat sebagai kritikan terhadap keadaan semasa dalam perhubungan antara ibu bapa dan anak-anak, atau lebih tepat komunikasi keluarga, filem ini menghidangkan hiburan yang baik untuk khalayak, pada masa yang sama tidak melupakan faktor pengisian berguna.

Di samping bergelak-ketawa menyaksikan banyak babak melucukan dimuatkan di dalamnya, seperti kanak-kanak yang tidak faham konsep kehamilan dan sebagainya, Aku Tak Bodoh cuba memaparkan mesej mengenai kepentingan komunikasi yang baik antara golongan ibu bapa dan anak mereka. Kedua-duanya perlu saling berhubung dengan jelas, sebelum komplikasi timbul pada kemudiannya.
Turut diselitkan ialah teguran kepada kita semua, betapa masa untuk anak-anak seharusnya tidak dipandang remeh kerana golongan muda ini sentiasa memerlukan perhatian serta model ikutan dalam proses kedewasaan mereka. Salah percaturan, mereka mencari kumpulan lain yang dianggap lebih memahami diri masing-masing, walaupun mereka berada dalam kelompok negatif. 

Mesej itu pula sebenarnya disampaikan dalam bentuk paling mudah difahami dan senang untuk diterima. Pemilihan konsep komedi antara jalan terbaik melaksanakan hasrat berkenaan kerana selain kegirangan yang diperoleh sepanjang tayangan, penonton tidak pulang dengan minda kosong. 

Begitupun, filem arahan Boris Boo ini bukannya menjanjikan gelak ketawa sepanjang masa. Tentu sekali wujud beberapa detik yang merentap perasaan, seperti babak si kecil yang dituduh mencuri sebenarnya mempunyai niat yang jauh lebih mulia. Begitu juga adegan menyaksikan bagaimana seorang bapa (lakonan memberangsangkan Namron) yang cuba mengubah masa depan anak lelakinya, tetapi ia cuma dimengerti beberapa saat sebelum ajalnya tiba. 

Filem ini mengisahkan perihal remaja 16 tahun bernama Roy, yang menghadapi liku hidupnya yang sentiasa diikat dengan prinsip ibu bapa. Bapa Roy, seorang pengaturcara komputer, percaya melalui kritikan anak-anaknya akan menjadi seorang yang berjaya. Ibu Roy pula seorang editor majalah yang tidak mempunyai masa lapang untuk anak-anak. Ibunya lebih mengharapkan si suami untuk mengawasi tingkah laku anak mereka. 

Lantaran sikap ibu bapanya yang gemar mengkritik dan tidak menghargai dirinya, Roy mula berkawan dengan remaja nakal. Bersama mereka Roy mula berasa dirinya benar-benar dihargai. Adik Roy, Jefri, 8, juga tersepit di dalam dunia ciptaannya sendiri kerana tiada siapa yang mempedulikan dirinya. 

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila Roy dan Jefri sudah berani melakukan jenayah, menyebabkan si ibu dan bapa terlalu marah dan bertindak memukul mereka. Ini menyebabkan Roy menjadi lebih liar dan sukar untuk dikawal. 

Namun, segala-gala berubah apabila ibu bapa Roy terbaca blog hasil nukilan Roy mengenai kisah hidupnya. Mereka juga tersentak dengan pengakuan anak bongsu mereka, Jefri yang sebenarnya mempunyai motif sendiri ketika bergelut dengan keadaan sekelilingnya tanpa kehadiran orang tuanya. 
  • Filem: Aku Tak Bodoh
  • Genre: Keluarga, Komedi
  • Pengarah: Boris Boo
  • Lakon layar: Hassan Muthalib
  • Penerbit: Mang, Brando Lee
  • Penerbit Eksekutif: Ahmad Puad Onah, J.S. Foo, Jack Neo
  • Pelakon: Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Namron, Adibah Noor, Wan Noor Aizat, Aeril Zafrel, Rohaizat Hassan, Datuk Jalaluddin Hassan
  • Tayangan: Mulai 2 Disember



No comments:

Post a Comment