Sunday, November 7, 2010














KUALA LUMPUR: Mengaibkan apabila ada artis tanah air tergamak 
menyambut Halloween pada 31 Oktober lalu, sedangkan perayaan 
itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Sekurang-kurangnya 
dua artis dikesan berbuat demikian, dipercayai di sebuah kelab 
malam sekitar ibu kota, biarpun jumlahnya mungkin lebih ramai. 

Artis terbabit ialah pelakon kontroversi, Fasha Sandha dan penyanyi 
popular, Joe Flizzow. 

Gelagat mereka dikesan selepas lapan gambar Fasha berpakaian
seksi ala ‘Genie In The Bottle’ dimuat turun dalam laman sosial 
Facebook milik kelab peminatnya.


Daripada jumlah itu, tiga gambar Fasha bersama teman lelakinya, 
Rizal Ashram atau Jejai, dua gambar solo Fasha dan masing-masing 
satu gambar Fasha bersama Joe, dengan seorang rakannya dikenali 
Azian dan gambar bertiga bersama Jejai dan Azian.


Satu gambar solo Fasha ketika menyambut hari itu turut dipapar dalam 
sebuah laman web hiburan tanah air. 

Tindakan Fasha turut mendapat reaksi berbeza daripada peminatnya 
dalam laman sosial berkenaan. Daripada 29 komen, ada yang menyokong 
pelakon berusia 26 tahun itu, ada peminat memberi nasihat secara baik dan 
tidak kurang juga yang mengkritiknya. 

Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha ketika 
dihubungi Metro Ahad, enggan mengulas berkenaan isu itu. 

Halloween berasal daripada perkataan Hallowe’en iaitu singkatan daripada 
‘All Hallow’s Eve’ (malam sebelum hari ‘All Hallow’). 

Selain itu, perayaan ini ditentukan mubaligh Kristian bertepatan dengan 
hari perayaan orang gasar kerana mahukan kaum itu mempercayai agama 
mereka. 

Bagi penganut Kristian, Halloween biasanya dikaitkan dengan syaitan, iblis, 
ahli sihir, hantu, goblin dan makhluk mitos yang menyeramkan. 

Selain itu, perayaan itu disambut dengan menghiasi rumah dan pusat 
beli-belah dengan simbol tertentu seperti labu yang diukir membentuk 
wajah menyeramkan iaitu nama Jack-o’-lantern dan berpakaian aneh. 

Mengulas mengenai budaya itu, Mufti Selangor, 
Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, orang Islam tidak boleh 
terpedaya hingga terbabit dalam perayaan berkait dengan agama lain
 seperti Halloween kerana adalah jelas ia satu daripada upacara 
orang Kristian. 

“Jika berkaitan dengan agama lain selain Islam, kita seharusnya 
berhati-hati walaupun menyertainya sekadar untuk suka-suka. 
Apa matlamat kita meraikannya, sedangkan ia bukan dalam budaya Islam. 

“Dalam Islam, ada perkara yang boleh untuk kita raikan, kenapa kita 
perlu cari budaya yang berkaitan dengan agama lain seperti menyambut 
Halloween. 

“Tidak kira hanya suka-suka atau apa juga tujuannya, orang Islam 
patut mengelak menyambut perayaan Hallowen kerana ia boleh 
mendatangkan syirik,” katanya.






No comments:

Post a Comment